Pertukaran kuasa secara aman adalah salah satu mafhum positif yang terdapat dalam demokrasi yang diterima oleh Islam. Feqah Islam di peringkat awal memperketatkan syarat mengambil alih kuasa dengan cara kekuatan kerana cara itu boleh menyebabkan pertumpahan darah, kehilangan nyawa yang banyak, kerosakan harta benda yang tidak terkira dan haru-biru dalam kehidupan manusia.
Atas alasan itu difahami fatwa ulamak yang sangat menekankan kewajipan mentaati imam dan kerana sebab yang sama menerima konsep ambil alih kuasa dengan kekuatan dan melalui cara warisan. Setelah diperhalusi oleh ulamak muhaqiqin didapati bahawa perubahan kerajaan boleh dilakukan walaupun ia tidak menjadi kafir jika perubahan itu tidak membawa kepada kemudharatan yang besar.
Ar-Rasyid di dalam kitabnya Usul Al-Ifta’, telah memberi fatwa keharusan keluar daripada imam (pemimpin) jika proses perubahan tersebut tidak membawa mudarat yang lebih besar berbanding mudarat yang dilakukan oleh imam tersebut jika dia terus memerintah.
التغيير بالقوة جائز شرعا إذا لم تصاحبه مفاسد ودماء أكثر مما يريقها الظالم مباشرة أو بطريق غير مباشر
“Proses perubahan secara kekuatan adalah harus syar’ie (dibolehkan oleh syarak) jika fitnah, kerosakan dan pertumpahan darah yang berlaku lebih sedikit berbanding kerosakan yang berlaku sekiranya pemimpin zalim itu terus memerintah, secara langsung ataupun tidak langsung”.
Pilihan raya yang adil membolehkan proses perubahan kuasa berlaku dengan aman. Saya kira ia adalah satu tahap kematangan yang pernah dicapai dalam sejarah manusia. Hari ini mana-mana pihak yang ingin merebut kuasa boleh masuk pilihan raya dan perubahan kuasa boleh berlaku dengan aman tanpa pertumpahan darah, kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan sebagainya.
Atas dasar itu ISMA bersetuju secara umum terhadap tuntutan mewujudkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil tidak kira datang daripada mana-mana pihak sekali pun. Walau bagaimanapun ISMA mengambil sikap berhati-hati terhadap penganjuran perhimpunan Bersih yang bakal diadakan pada 9 Julai ini. Ini sesuai dengan dasar ISMA yang non partisan dan setelah penilaian dibuat secara menyeluruh.
ISMA berpendapat ada unsur provokasi dalam penganjuran BERSIH 2.0. Walaupun penganjur menjanjikan perhimpunan aman tetapi bilangan yang diunjurkan ratusan ribu melebihi kemampuan polis Malaysia yang hanya berjumlah 150,000 orang dan beberapa ribu anggota FRU untuk mengawal. Situasi luar kawalan ini dalam istilah feqah dipanggil mazannah al-fitnah (potensi besar berlaku fitnah) yang boleh dijadikan sandaran dalam membuat hukum. Jika diandaikan jumlah itu berada di jalan, mustahil polis akan dapat mengawalnya dan keselamatan umum akan terancam dan itu boleh menyebabkan huru-hara yang ditegah oleh syarak.
Dalam keadaan itu jika diandaikan pihak kerajaan tidak memenuhi tuntutan dan itu sangat besar kemungkinannya maka keadaan lebih serius boleh berlaku. Ketamakan politik pihak-pihak yang terlibat mungkin merubah perhimpunan aman kepada konfrontasi, revolusi dan sebagainya. Ini telah berlaku di negara luar. Ini tidak termasuk tindakan-tindakan provokatif yang mungkin dirancang oleh pihak tertentu.
Mengambil kira kerapuhan sistem politik Malaysia yang terdedah kepada ketamakan dalam dan luar negara, ISMA mengambil pendirian berhati-hati terhadap perhimpunan Bersih. Landasan kami dalam membuat pendirian tersebut ialah:
1. Kemungkinan perhimpunan menuntut pilihanraya Bersih boleh bertukar kepada tekanan supaya berlaku perubahan kuasa secara tidak aman. Ini berlawanan dengan matlamat asal Bersih yang mahu mengukuhkan sistem pilihanraya dan seterusnya berlaku pertukaran kuasa secara aman. Seperti yang kita lihat berlaku di luar negara, perubahan cara ini tidak membawa negara kepada demokrasi sebaliknya kembali ke zaman faudho (ketidaktentuan yang berpanjangan) di samping musuh-musuh negara menunggu peluang untuk membaham.
2. Perubahan kuasa buat masa ini akan memperkukuhkan kedudukan puak-puak liberal yang berfahaman sekular barat. Dengan terbentuknya sistem demokrasi liberal ala barat yang meminggirkan agama dan bangsa akan menjauhkan lagi matlamat perjuangan Islam.
3. Perubahan yang berlaku tidak memenuhi syarat syar’ie (syarak) yang mana perlu wujud kepimpinan Islam yang layak, dominan dan mendapat sokongan yang kuat daripada massa. Jika perubahan berlaku golongan Islam dalam gabungan alternatif tidak memenuhi syarat yang disebutkan.
Pendirian ini dibuat berdasarkan kaedah saddu az-zari’ah (menghalang sebab yang membawa kemudhoratan), dan kaedah merubah kemungkaran tidak boleh menyebabkan kemungkaran yang lebih besar. Dalam hal ini huru-hara yang mengancam kestabilan negara boleh berlaku.
ISMA mencadangkan agar perhimpunan Bersih mengambil kira pandangan ini dan menyokong kiranya pihak penganjur bersetuju untuk dibuat di stadium walaupun ISMA masih menuntut agar bilangannya mesti dikurangkan.
Sekali lagi ISMA mengambil kesempatan untuk mengajak umat Islam agar kembali kepada kitab dan sunnah, bersatu padu dan mengelak daripada terjebak dalam permainan politik yang akhirnya merugikan perjuangan Islam. ISMA melihat semangat kepartian melampau boleh membakar apa sahaja yang masih tersisa.
Sekian. Wassalam.
Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku